Latest News

Saturday 4 February 2017

Snouck Hurgronje, Dajjal Kecil yang Membinasa Islam di Nusantara..

Snouck Hurgronje, Dajjal Kecil yang Membinasa Islam di Nusantara..



Snouck Hurgronje melanjutkan pelajaran di Universiti Leiden pada tahun 1875 ketika berusia 18 tahun. Pada mulanya beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan teologi namun beliau menukar jurusan pengajiannya kepada jurusan Sastera Bahasa Arab. Beliau meraih gelaran doktor falsafah sastera Arab pada tahun 1880.

Kelayakan sebagai doktor falsafah melayakkan beliau menjadi seorang pensyarah bagi calon-calon pegawai Belanda yang ingin dihantar berkhidmat untuk VOC(Syarikat Hindia Timur Belanda) di Hindia Timur(kini dikenali Indonesia).

Misi Snouck Hurgronje di Mekah


Pada tahun 1884, beliau pergi ke Mekah untuk mendalami pengetahuan dalam bahasa Arab. Apabila tiba di sana beliau menyatakan dirinya adalah penganut Islam dengan nama Islamnya, Abdul Ghaffar. Terdapat sesetengah sejarahwan menyatakan bahawa Snouck Hurgronje hanya berpura-pura memeluk Islam bagi mengaburi beberapa pihak terutama pihak berkuasa Mekah.


Tujuan sebenar beliau ke Mekah adalah ingin merisik sifat fanatik umat Islam Acheh di Mekah yang mana pada pengamatannya umat Islam Acheh menjadikan Mekah sebagai pengkalan mereka untuk meraih kemerdekaan daripada penjajah Belanda. Maka tidak hairan apabila terdapat sumber-sumber sejarah mengatakan Snouck Hurgronje telah ditaja oleh kerajaan Belanda semasa berada di Mekah atas tujuan perisikan maklumat.

Di Mekah, ramai ulama bersyarah dan menaikkan api semangat jihad di kalangan masyarakat nusantara bagi menentang penjajah kafir yang menganiayai masyarakat Islam tempatan. Snouck berjaya berkenalan dengan beberapa ulama dan individu seperti Sheikh Waliyul Hijaz, Raden Abu Bakar Jayadiningrat dan Haji Hasan Musthafa. Beliau menarik simpati ramai lagi individu atas dasar persaudaraan sesama ‘muslimin’.


Berbekalkan perkongsian ilmu daripada mereka bertiga dan ramai masyarakat Islam di Mekah, Snouck berjaya memahami selok belok kehidupan masyarakat Islam Acheh termasuk kelemahan dan kekuatan mereka. Di Mekah, Snouck sempat merakam gambar masyarakat Islam. Malahan, terdapat sebuah petikan alunan al-Quran yang dirakam oleh Snouck Hurgroje yang dipercayai antara yang tertua pernah direkodkan.


Kembali ke Belanda dan berkhidmat di Acheh
Pada tahun 1885, beliau kembali mengajar di Universiti Leiden dengan pengetahuan dan pengalaman yang baru. Namun, beliau merasakan adalah tidak adil jika beliau mengajar tetapi beliau sendiri tidak pernah berada Hindia Timur khususnya Acheh.

Tidak lama selepas itu iaitu pada tahun 1889, beliau menawarkan diri untuk berkhidmat di Hindia Timur iaitu di wilayah Acheh. Beliau diberi tugas sebagai penasihat bahasa oriental dan hukum Islam. Pada 9 Julai 1891, beliau menetap di Peukan Acheh.


Idea licik Snouck

Snouck Hurgronje dianggap sebagai perintis dasar wawasan kolonial Belanda berkenaan Islam di Indonesia. Hasil daripada idea beliau maka lahirlah Kantoor voor Inlandsche Zaken iaitu sebuah badan penasihat kepada pihak Belanda tentang masalah peribumi Acheh.

Badan ini dibawah seliaan Snouck Hurgronje. Snouck berprinsip bahawa pihak Belanda tidak perlu mengusik tradisi nenek-moyang dan agama kaum Acheh. Namun, pihak penjajah Belanda perlu berusaha untuk menjadikan Islam sebagai agama masjid. Dalam erti kata yang lain, Snouck bimbang bahawa Islam mampu menjadi wadah untuk bangsa Acheh bangkit menentang kelangsungan penjajahan Belanda di Hindia Timur.

Snouck juga melontarkan beberapa idea licik beliau iaitu beliau meminta pihak kolonis Belanda menyelia dan melaksanakan pengawasan terhadap tabung masjid-masjid di Acheh kerana dibimbangi akan digunakan untuk aktiviti jihad menentang kekuasaan Belanda.

Beliau menyarankan pihak penjajah Belanda membendung semangat Pan-Islamisme yang melanda di kebanyakan negara Islam yang terjajah dengan melaksanakan program yang ketat kepada jemaah haji Indonesia.

Snouck berusaha menyakinkan pihak penjajah Belanda bahawa ulama dan kiai tidak semuanya adalah fanatik. Snouck memberi pandangan bahawa penghulu kampung mesti dilantik daripada kalangan pro-Belanda dan jangan sesekali jawatan ini terlepas kepada mereka yang anti-Belanda kerana dibimbangi akan mengundang kesusahan di kemudian hari.

Snouck Hurgronje berwawasan politik neutral agama. Ia dapat dilihat daripada pandangan Snouck yang mahu pihak kolonis Belanda tidak terlampau terdesak untuk memurtadkan masyarakat Acheh. Sepanjang pergaulan Snouck dan penduduk setempat, Snouck melihat semakin hari semakin banyak pesantren dan sekolah agama wujud di segenap tempat di Acheh. Maka, program kristianisasi di Acheh tidak mungkin berjaya sepertimana yang mereka berjaya lakukan di beberapa tempat di Indonesia.

Jarum halus Snouck Hurgronje memiliki kesan jangka panjang yang besar yang mana kita boleh melihat kesannya pada hari ini di Indonesia mahupun Malaysia. Snouck memperkenalkan konsep Splitsingstheori. Konsep ini memberi bahana yang besar kepada umat Islam.

Snouck dengan liciknya cuba memisahkan tiga bahagian utama daripada Islam iaitu Agama, Sosial dan Politik. Ketiga-tiga bahagian ini dalam Islam tidak boleh dipisahkan kerana Islam adalah agama Politik dan agama Sosial. Dengan usaha jahat Snouck, umat Islam beransur-ansur menganggap Islam adalah terpisah daripada politik dan sosial dan hanya menganggap Islam itu agama di dalam masjid.

Selepas itu, Snouck cuba memasukkan elemen pembelajaran sekular dan kebudayaan barat ke dalam masyarakat Islam. Baginya, melalui cara ini masyarakat Islam lebih mudah meninggalkan ajaran Islam mereka di mana pada satu ketika kelak akan bangkit penentang Islam daripada masyarakat mereka sendiri.

Konsep Politik Asosiasi akhirnya memberi impak yang besar apabila Acheh akhirnya tersungkur pada tahun 1913. Rakyat Acheh miskipun terkenal sebagai orang alim ulama dan Acheh sendiri terkenal dengan jolokan negeri Serambi Mekah namun kejahilan terhadap agama bangkit tidak lama selepas itu.



Snouck Hurgroje adalah perisik paling berjaya di Indonesia

Tidak dinafikan Snouck Hurgroje adalah perisik dan orientalis paling berjaya di Indonesia. Beliau sanggup melakukan apa sahaja asalkan misi beliau di Indonesia berjaya. Snouck pernah berkahwin dua kali dengan gadis Melayu-Islam sepanjang berada di Indonesia. Kedua-dua anak gadis tersebut adalah anak kepada individu berpengaruh di kalanganmasyarakat tempatan.

Perkahwinan pertama berlangsung pada 1890 dengan seorang puteri daripada Jawa Barat, Sangkana. Perkahwinan pertama melahirkan empat orang anak iaitu Salamah, ‘Umar, Aminah dan Ibrahim. Perkahwinan kedua pula dengan seorang anak seorang ulama iaitu Siti Sadijah. Perkahwinan ini melahirkan seorang anak iaitu Raden Yusuf.


Perkahwinan ini adalah untuk mengaburi mata-mata masyarakat tempatan daripada menghidu kelicikan beliau. Sepanjang misi beliau di Indonesia, beliau secara tidak langsung telah dibantu oleh beberapa pemimpin tempatan yang mana tidak menyedari mereka telah ditipu. Antaranya adalah Haji Hasan Musthafa yang pernah beliau temui dan berkawan akrab ketika di Mekah.

Snouck dilaporkan pernah berutus surat dengan mantan gurunya, Theodor Noldekhe. Noldekhe adalah seorang orientalis berbangsa Jerman terkenal. Dalam suratnya, Snouck menegaskan bahawa keIslaman dan semua tindakannya termasuk berkahwin adalah permainan helah untuk menipu warga tempatan khususnya di Acheh demi mendapatkan informasi.

Dalam tulisannya beliau menulis,
“Saya masuk Islam hanya pura-pura. Inilah satu-satulnya jalan agar saya boleh diterima masyarakat Indonesia yang fanatik“.


Akhir hayat

Snouck Hurgronje pulang ke Belanda pada tahun 1906 dan meneruskan kariernya sebagai pensyarah di Universiti Leiden dan jurusan Bahasa Arab dan Melayu. Snouck yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Arab, Melayu, Acheh dan Jawa menjadi rujukan utama orientalis-orientalis Barat.

Snouck dilaporkan berkahwin dengan seorang wanita Kristian berbangsa Belanda, Ida Maria Oort pada 1910. Sepanjang di Belanda, beliau masih lagi aktif berkarya dengan mengkritik Islam dan politik Islam.

Pada tahun 26 Jun 1936, Snouck Hurgronje menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 79 tahun.

No comments:

Post a Comment

Recent Post